top of page

​PERINTAH ULUNG
PANGLIMA TENTERA DARAT KE-24

​

​

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia
Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah Subhanahu Wataala; Tuhan sekelian alam; selawat dan salam keatas Junjungan Besar Nabi Muhammad Salallahu’ Alaihi Wassalam.

Para Perwira, Bintara, Petanda dan Perajurit serta warga Tentera Darat yang saya kasihi sekalian



TAKLIF BUKAN TASYRIF

​

Harus disedari bahawa perlantikan saya sebagai PTD merupakan satu tanggungjawab dan amanah (taklif) dan bukan semata-semata sebagai satu posisi yang membawa populariti atau imbuhan (tasyrif) yang melalaikan. Amanah dan tanggungjawab perlu dipikul bersama untuk mengharungi pelbagai cabaran. Demi kelangsungan kesejahteraan dan kecemerlangan TD, tiga  aspek berikut akan saya jadikan teras hala tuju pemerintahan saya:



HALA TUJU PERTAMA: KELANGSUNGAN VISI MENGEKAL TRADISI



Dua dimensi utama, Kesiagaan Tempur dan Kualiti Hidup akan terus diperkukuhkan. Lima unsur-unsur kejiwaan, iaitu Kesetiaan, Integriti, Kesatuan, Pengorbanan dan Keunggulan yang menjadi teras pendukung kepada dimensi Kesiagaan Tempur dan Kualiti Hidup akan terus dibangunkan dan disuburkan. Pembatinan ethos ketenteraan melalui Sistem Pemerintahan Rejimental (SPR) akan terus diiktiraf sebagai sumber asas kekuatan spiritual yang membina daya juang ketenteraan atau military morale.



HALA TUJU KEDUA: TRANSFORMASI INKLUSIF MENGEKAL RELEVANSI TETAP DIUNGGULI



Demi mengekal relevansi dan keunggulan TD, saya bertekad untuk memperkasakan TD menjadi sebuah angkatan yang inklusif dan tekal oleh masa dan situasi – land force that can withstand the test of time and situation. Justeru, aspek-aspek berikut perlu diterjemahkan menjadi pelan tindakan:

Aspek Pertama: Keseimbangan Faktor Tangible dan Intangible. Memperkasakan  tahap dan prestasi Kuasa Tempur melalui keseimbangan pengurusan unsur-unsur tangible dan intangible, yang melibatkan tiga elemen utama - Daya Tembak, Daya Gerak (tangible) dan Daya Juang atau Morale (intangible).

Aspek Kedua: Kajian Berterusan.  Kajian-kajian mengenai Trilogi 3M - manusia, mesin dan metod (man, machine and method) perlu diberi perhatian lebih serius secara berterusan. Tinggi rendahnya tahap kuasa tempur yang dijana tergantung kepada nilai profesionalisma anggota (man) menggunakan persenjataan dan peralatan (machine) serta keserasian metodologi atau doktrin ketenteraan (method). Melalui hasil kajian-kajian, TD akan dapat melaksanakan pembangunan Kuasa Tempur yang benar-benar inklusif dan relevan mengikut situasi semasa dan akan datang.



Aspek Ketiga: Anjakan Paradigma. Pengukuhkan pemikiran luar kotak  beserta dengan kematangan akal budi ketenteraan adalah faktor utama bagi menyahut cabaran suasana semasa dan akan datang yang rawan dan mudahubah. Teori dan konsep Strategi Lautan Biru (National Blue Ocean Strategy) dan Big Think Strategy perlu di sesuaikan dan dijadikan panduan kepada transformasi TD yang inklusif.   Aspek Keempat: Operasi Ketenteraan Selain Perang. Selain dari memanfaatkan Kuasa Tempurnya untuk operasi-operasi



ketenteraan berorientasikan perang, TD juga memfokuskan kepada Operasi Ketenteraan Selain dari Peperangan (Military Operations Other Than War – MOOTW), penglibatan dalam misi pengaman PBB dan pelaksanaan program Strategi Lautan Biru dengan pelbagai agensi Kerajaan.  Oleh itu, TD hendaklah sentiasa peka terhadap kepentingan hubungan kerjasama antara agensi (inter-agency cooperation), yang juga dikenali sebagai Civil-Military Cooperation (CIMIC).

HALA TUJU KETIGA: SAHSIAH DIRI PRESTASI TD



Daya Juang Ketenteraan (military morale) merupakan tahap keyakinan, ketabahan, pengorbanan dan sikap keberanian yang tinggi bagi melaksanakan sesuatu tugas yang diperlukan oleh pasukan atau Tentera Darat. Tahap Daya Juang seseorang anggota ditentukan oleh pengertian  kehidupan, sama ada kehidupan ini untuk dirinya, keluarganya, pasukannya, agamanya, bangsa atau negaranya. Individu yang mempunyai tahap Daya Juang yang bersendikan pasukan dan kenegaraan semestinya berbeza dengan pengertian kehidupan anggota yang bersendikan material semata-mata.



Saya menyeru kepada setiap warga Tentera Darat sentiasa membangun dan menyuburkan tahap Daya Juang yang bersendikan kenegaraan 1Malaysia  yang mampu mewujudkan  1Jiwa TD kearah 1Angkatan: Tetap Gagah Tetap Setia bagi mendukong aspirasi rakyat dan kedaulatan negara. Sebagai refleksi kepada 1Jiwa TD, saya juga berkehendakan warga TD mempamerkan 6 Akal Budi Ketenteraan (Military Mind) seperti berikut:



1. Penampilan Kepahlawanan (Warrior Appearance)
2. Tingkah Laku Diri yang Jelas (Clear Personal Conduct)
3. Kesopanan Ketenteraan (Standard of Military Courtesy)
4. Tanggungjawab kepada Peralatan (Responsibility for Equipment)
5, Kemahiran Ketenteraan (Military Skill)



Bagi merealisasikan pengukuhan Akal Budi Ketenteraan saya menyeru agar tiga aspek berikut diberi perhatian:

Aspek Pertama: Konsep Hablun minALLAH. Hablun minAllah adalah konsep ketuhanan yang menekankan hubungan manusia dengan Allah yang mampu memperkasakan daya juang yang tulen.



Aspek Kedua: Konsep Hablun minanas. Hablun minanas adalah konsep  perhubungan manusia sesama manusia yang akan memperkukuhkan tanggungjawab pengurusan anggota.

Aspek Ketiga: Konsep Trilogi Pengurusan Tingkah Laku. Ia merangkumi keseimbangan pengurusan komponen kognitif (fikiran), emosi dan tingkah laku.



TEKAD, TAWAKKAL & RESTU HALA TUJU YANG JITU DITUJU



Hasrat Tentera Darat ke arah mewujudkan satu angkatan yang inklusif, relevan dan mendapat kepercayaan sepenuhnya dari masyarakat serta pucuk pimpinan negara tidak akan tercapai tanpa komitmen menyeluruh warga TD. Saya menyeru agar semua lapisan anggota  TD memperbaharui tekad, menggandakan usaha dan sentiasa berdoa memohon restu Allah Subhana Wataala agar hala tuju yang jitu ini dapat direalisasikan.

​

GAGAH SETIA
1ANGKATAN: TETAP GAGAH TETAP SETIA
MENDUKUNG ASPIRASI RAKYAT DAN KEDAULATAN NEGARA

​
...................................................................................................
JENERAL DATUK HAJI ZULKIFLI BIN HAJI ZAINAL ABIDIN
PANGLIMA TENTERA DARAT
16 JUN 2011



webmail.pldtd.net

bottom of page